2013年11月21日 星期四

Kepentingan Berbudi Dalam Kalangan Masyarakat (Soalan 5)

One of the questions from Facebook. It's also listed as the spotted question. (But this type of question has come out on 2008 November SPM) Take a look and refer :)


Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Berdasarkan maksud pantun tersebut, huraikan kepentingan hidup berbudi dalam masyarakat.


Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;

Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.


               Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan berbudi dalam kalangan mujtamak kian lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam gejala jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, dan pornografi sering terpapar pada dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi dalam kalangan masyarakat. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kebejatan amalan mulia ini disebabkan oleh pengaruh budaya kuning dari Negara-negara barat seperti Belanda, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terkenal dengan sikap keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah Negara yang demokratik dan mengamalkan dasar buka pintu untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Negara. Oleh sebab itu, masyarakat kita tidak dapat lari daripada pengaruh dunia luar dan pengaruh budaya kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak fikiran masyarakat. Seyogianya, budaya berbudi perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana terdapat kepentingannya kepada golongan masyarakat.

                 Seperti yang telah kita sedia maklum, salah satu kemaslahatan amalan berbudi dalam kalangan masyarakat adalah dapat mewujudkan perpaduan antara pihak mujtamak berbilang etnik di Negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa dan berhemah tinggi akan saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, taraf dan umur individu tersebut. Dengan ini, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan ceria walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza daripada aspek budaya, adat dan kepercayaan. Secara tidak langsung, pertelingkahan dan perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke-51, iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan “Perpaduan Teras Kejayaan”, telah jelas menunjukkan kepentingan perpaduan kaum dalam Negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Peribahasa Melayu pernah mengatakan bahawa “bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa ini telah menunjukkan bahawa Negara tersebut dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan Negara dengan mudah apabila masyarakat bersatu.

                  Jika kita telusuri dari skor yang lebih luas, amalan berbudi dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada era tersebut dapat Berjaya membina empayar dan kerajaan yang kuat dan hebat seperti apabila tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir Purba, tamadun Indus dan tamadun Hwang Ho walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang seperti kontemporari. Walau bagaimanapun, senario hari ini yang menyaksikan masyarakat yang biadap dan kasar sikapnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat amatlah memilukan hati bagai duri dalam daging. Hal ini seolah-olah masyarakat kita masih hidup dalam zaman jahiliah yang mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah.

                  Dari kaca mata yang lain, industry pelancongan juga turut meningkat. Masyarakat yang bertatasusila dan berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai positif seperti memberi layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. Hal ini signifikan agar dapat meninggalkan imej yang positif terhadap Negara kita dalam diri pelancong. Bukan itu sahaja, pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. Tatkala itu, para pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong dan pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan iltizam yang lebih signifikan dengan sentiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun seyogia dijadikan entiti misali kerana masyarakatnya sememangnya kaya dengan budi bahasa. Misalnya, ucapan “irasshaimase” yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tanpa mengira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun. Tegasnya, budaya murni ini patutlah diserapkan dalam jiwa dan raga setiap individu terutamanya golongan yang berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian yang menyeronokkan di Negara kita.

                     Seterusnya, seandainya kita tinjau dari sudut perspektif yang lain, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dilahirkan sekiranya wujudnya amalan berbudi dalam kalangan masyarakat. Pemimpin yang berwibawa akan dapat mentadbir Negara dengan lancer kerana mendapat sokongan padu daripada rakyat. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan aset yang sangat bernilai dan unggul kepada Negara kerana mereka akan beriltizam menjadi generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Negara. Senario ini selaras dengan “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. Oleh itu, budi bahasa mestilah dijadikan panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka dapat menghindari kancah gejala social, Bukan itu sahaja, pemimpin yang berbudi juga dapat meningkatkan imej Negara kerana pemimpin dari Negara lain akan kagun dan menghormati Negara kita. Ironinya, hubungan diplomatic bagi menjamin kemajuan dan keselamatan Negara dapat dijalankan dengan mudah. Dengan itu, Negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Negara lain. Selain itu, Negara kita akan terkenal di persada dunia kerana sifat budi bahasa kita dan hal ini akan menjadi kebanggaan masyarakat kita.

                      Akhirulkalam, sifat-sifat luhur dan amalan berbudi yang sepatutnya menjadi kebanggaan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dilestarikan, dipulihkan dan dihidupkan semula. Mantan Perdana Menteri yang ke-5, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan bahwa Negara kita akan mudah dikalahkan sekiranya kita mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi mentality kelas ketiga. Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan nilai dan budaya yang betul amat mustahak untuk Negara mencapai cita-citanya yakni untuk mencapai taraf Negara maju untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Negara-negara gergasi lain di seantero dunia. Dalam menanam amalan berbudi dalam diri setiap individu, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlulah diimplimentasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya amalan berbudi. Bukan itu sahaja, semua pihak haruslah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Seiring dengan itu, kita berharap agar menjelang tahun 2020, tabiat negative sudah lupus daripada memori setiap rakyat Malaysia supaya Negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Kepentingan amalan berbudi dalam masyarakat terpapar dalam pantun di bawah:


Pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

hutang budi dibawa mati.

1 則留言: