2013年11月21日 星期四

Zaman Gelap (SPM Esei)

(a) Nyatakan ciri-ciri zaman gelap di Eropah. (8-10 markah)

Ciri-ciri zaman gelap di Eropah adalah seperti berikut; Dari segi politik, tiada wujudnya pentadbiran pusat yang berkesan. Oleh itu, wujudnya golongan baron (tuan tanah). Petani yang miskin terpaksa mendapat perlindungan dan keselamatan daripada golongan baron. Golongan petani terpaksa membayar cukai kepada tuan tanah. Bagi rakyat yang tidak mampu membayar cukai, mereka terpaksa menjual tanah kepada baron. Mereka juga terpaksa menjadi hamba kepada golongan tuan tanah. Golongan baron juga mendapat perlindungan daripada golongan raja. Sebagai balasan, golongan baron terpaksa membayar cukai dan meyerahkan perkhidmatan tentera kepada golongan raja. Ikatan hubungan antara golongan petani dengan golongan baron dan golongan baron dengan raja telah mewujudkan sistem feudal di Eropah. (kalau ingat pasal tentang gereja pun boleh tulis jua!)

Dari segi ekonomi, Eropah mengalami kemerosotan perdagangan. Kegiatan perdagangan diganggu oleh orang gasar seperti Viking dan Magyar. Kawasan persekitaran laut Mediterranean dikuasai oleh pedagang-pedagang Islam.Oleh itu, masyarakat Eropah pada zaman Gelap terpaksa tertumpu kepada kegiatan pertanian. Aktiviti pertanian mereka dijalankan secara sara diri. Mereka juga terpaksa mengamalkan sistem barter kerana penggunaan mata wang yang terhad.


(b) Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, apakah persamaan antara masyarakat Melayu tradisional dengan masyarakat feudal di Eropah? (4-6 markah)

Berdasarkan pengetahuan sejarah saya, persamaan antara masyarakat Melayu tradisional dengan masyarakat feudal di Eropah termasuklah; seperti di Eropah dan Tanah Melayu, pemerintah diketuai oleh raja. Raja memiliki tanah dan kekayaan secara mutlak. Pentadbiran raja dibantu oleh golongan bangsawan (pembesar). Raja menghadiahkan tanah kepada pembesar untuk ditadbir. Sebagai ganjaran, pembesar akan membayar cukai dan menyediakan perkhidmatan tentera kepada raja supaya pembesar mendapat perlindungan dan keselamatan daripada raja. Seterusnya, rakyat akan membayar cukai kepada pembesar. Di Tanah Melayu, sebahagian hasil tanaman diserahkan kepada pembesar sebagai penghargaan pembesar menyediakan tanah. Sistem ini dikenali sebagai sistem serah.


(c) Pada pandangan anda, apakah iktibar zaman gelap di Eropah kepada generasi muda pada masa ini? (4-6 markah)

Pada pendapat saya, iktibar zaman gelap di Eropah kepada generasi kini termasuklah untuk memajukan sesebuah negara, kegiatan perdagangan haruslah dimajukan. Kita haruslah prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan masyarakat dan mengelakkan masalah kebuluran dan kemiskinan. Kita juga mestilah mempunyai semangat inkuiri untuk mengubah peristiwa dan unsur dari situasi yang negatif ke situasi yang positif. Kita juga haruslah mempunyai sikap kreatif dan inovatif untuk mereka cipta sesuatu benda untuk membantu membendung sesuatu masalah. Kita haruslah bersikap terbuka serta berpandang jauh untuk merancang masa hadapan negara kita. Kita haruslah bersatu padu dan berganding bahu mengatasi sesuatu masalah bagi menjamin keamanan negara.



BONUS QUESTION:
Apakah maksud zaman gelap? (4 markah)

Eropah mengalami zaman kemunduran, iaitu zaman gelap selepas kejatuhan Rom Barat. Zaman Gelap merupakan peringkat awal Zaman Pertengahan di Eropah. Zaman Gelap merujuk kepada kemerosotan perdagangan, ilmu dan pengetahuan dan kesusasteraan. Pada masa tersebut, tiada wujudnya pusat pentadbiran yang berkesan dan politik yang stabil. Zaman tersebut dikongkong oleh kuasa Gereja Katholik.




Salam mengulang kaji! :)

沒有留言:

張貼留言